RENUNGAN: Senyum Dan Terus Berdoa.





Apabila mempunyai sahabat dan teman yang sentiasa ‘mencederakan’ hati, diri seolah-olah terusik untuk memarahi atau mungkin menaruh dendam di dalam hati..

Pernah aku tanya soalan sebegini kepada para guru yang mulia;

“Bagaimanakah caranya untuk kita menjaga hati daripada membenci perbuatan teman yang telah melukakan hati kita?”


Jawab salah seorang tuan guru mulia :

“Sekalipun perbuatan temanmu tidak engkau sukai, atau melukakan hatimu, tetapkanlah dirimu senyum dan berdoa kebaikan buatnya, kerana itulah ubat untuk kehidupanmu lebih tenang dan bahagia.”


Jawapan sebegini, sukar difahami dan sukar juga untuk dilakukan.

Kerana diri sentiasa lemah dengan nafsu dan syaitan yang sentiasa mencari peluang untuk menjauhkan diri daripada mengingati Allah. Namun, setelah aku melihat pelbagai perwatakan manusia dan pelbagai kelakuan manusia, semakin aku mengerti apa yang dikatakan oleh tuan guru mulia itu.

Ia tentang “masa”.

Apabila seseorang ‘melukai’ hati kita, sama ada percakapannya atau perbuatannya adalah untuk menegur kesalahan kita atau gurauan dengan kita atau seumpamanya. Jika kita ‘balaskannya’ dengan hal yang sama, iaitu dengan tujuan untuk ‘melukai’ hatinya jua, atau tujuan yang berbeza tetapi still melukai hatinya, maka sebenarnya kita memilih ‘masa yang panjang’ untuk beroleh kehidupan yang tenang dan bahagia.

Umpama marah (melukai hati itu) seperti api yang membara, jika kita tambahkan marah itu (iaitu dengan kita jua menjadi marah), maka kita telah memilih untuk memarakkan api. Maka bertambah panjanglah api itu menyala dan mungkin berlarutan yang amat lama.

Namun, jika api yang membara itu kita hanya memilih untuk senyum dan berdoa kepada Allah untuk segala kebaikan dari-Nya, maka ia ibarat air yang sejuk dituang kepada api, semakin lama semakin padam.

Sesungguhnya ia memang sukar kerana kita juga mempunyai hati. Sebab itulah Allah tempatkan ganjaran yang amat mahal bagi mereka yang dapat melakukan sebegini, iaitu memilih untuk senyum dan berdoa kepada Allah SWT.  

Ilmu boleh berkata pelbagai hikmah dan ganjaran, tetapi tubuh badan kadang-kadang lemah di dalam mengikuti ilmu yang ada. Tetapi Allah telah berjanji kepada hamba-hambaNya yang berusaha. Dia akan membantu hamba-hamba-Nya untuk memperolehinya..

Pilihlah untuk senyum dan berdoa apabila berhadapan dengan teman dan sahabat sebegitu. InsyaAllah, sama-sama kita berusaha untuk jaga hati dan peroleh redha Illahi :)






sumber: http://rozizarina.tumblr.com/




No comments: